Kerjaya Husna Mustaffa

Sewaktu bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan, Husna Mustaffa memulakan kerjaya peragaan dengan menghadiri sesi fotografi iklan tudung Jelita Sara yang disiarkan di Astro. Biarpun sesi penggambaran mengambil masa yang lama, pengalaman berlakon dalam iklan tersebut sangat berharga buatnya. Husna kemudian terpilih sebagai model untuk butik pakaian dan tudung secara dalam talian.[2]

Kerjaya lakonannya bermula apabila penerbit dan pemilik Global Station, Zaitun Mohd Jiwa menawarkan peluang berlakon tanpa menghadiri uji bakat, namun terus diberikan skrip. Drama pertamanya bersama Global Station ialah Isteri Tuan Ihsan (2016). Bermula dari situlah beliau mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan.[3] Di bawah bimbingan pelakon senior Zul Huzaimy, Husna mengikuti kelas lakonan untuk untuk mempelajari asas seni lakonan. Beliau kemudian membintangi beberapa siri drama TV termasuk Cinta Tiada Ganti, Kan Kukejar Cinta Kamu, Kerana Dia Manusia Biasa dan Dua Takdir Cinta.